Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Agama - Dakwah Tanggungjawab Bersama


MELAKSANAKAN dakwah adalah tanggungjawab semua orang. Inilah keistimewaan menjadi Muslimin dan Muslimat yang beriman dan selalu menyuruh diri sendiri dan orang lain mengikut perintah dan berpegang kepada addin-Nya.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menyuruh dan mengajak orang lain beriman kepadaNya. Sebagai umat yang terpilih dan terbaik dakwah adalah jalan terbaik mengajak orang lain beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. 

Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (ali Imran: 110)

Setiap umat Islam adalah sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah untuk melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran. Melakukan kebaikan mestilah secara berterusan walaupun sedikit. Kemudiannya akhir dilakukan secara tetap dan lebih banyak.

Tugas berdakwah tidak semestinya terletak kepada tanggungjawab pendakwah, penceramah, imam dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. Malah ia boleh menjadi tugas dan tanggungjawab guru dan ustaz di sekolah serta orang biasa.

Syarat yang paling utama adalah mempunyai ilmu agama bagi mengajak orang lain mengerjakan kebaikan dan kebajikan.

Tokoh ilmuwan Islam, Al-Khazin menjelaskan bahawa pendakwah itu terbahagi kepada empat. Pertama, golongan para Nabi dan Anbiya' (nabi-nabi) yang berdakwah dengan pengantaraan mukjizat, hujah-hujah penerangan dan penjelasan.

Kedua, golongan alim ulama yang diiktiraf sebagai para Nabi. Ketiga, golongan mujahidin yakni orang-orang yang berperang kerana Allah SWT.

Keempat, para muazin yang melaungkan azan mengajak manusia mendirikan solat, juga dianggap sebagai pendakwah.

Konsep atau peranan pendakwah mestilah lebih luas. Dari segi konsepnya, mengajak orang lain mengerjakan kebajikan adalah berdakwah, mengajak orang lain solat dan mendekati masjid adalah dakwah. Malahan menegur kawan-kawan daripada melakukan perbuatan yang tidak baik juga adalah dakwah.

Peranan dakwah ini boleh dimainkan melalui lisan atau perbuatan. Antaranya melalui nasihat, teguran dan pandangan yang berhikmah.

Sekolah adalah pusat pembelajaran ilmu pengetahuan yang sepatutnya dijadikan asas berdakwah, iaitu mengajak ke arah kebaikan.

Kita tidak mahu konsep dakwah itu disempitkan. Harus diingat mengajak orang lain mendalami ilmu pengetahuan juga adalah dakwah. 

Sebagai pelajar, menasihati pelajar lain, khususnya kawan-kawan sebaya tidak menghisap rokok adalah dakwah. Menasihati mereka agar tidak melanggar disiplin sekolah juga adalah dakwah.
Tags: Agama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...