Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Manfaatkan Klinik Bergerak Rawatan Katarak 1Malaysia



BENTONG - Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap orang ramai memanfaatkan Klinik Bergerak Rawatan Katarak 1Malaysia (KBRK1M) untuk menjalani pemeriksaan mata dan pembedahan katarak.

Katanya KBRK1M diwujudkan adalah kerana katarak merupakan salah satu punca utama penyebab buta dan masalah penglihatan di Malaysia.

"Dianggarkan sehingga kini seramai 300,000 rakyat mengalami masalah katarak. Pada tahun 2010 hanya 28,500 orang pesakit sahaja yang menjalani pembedahan katarak, manakala daripada jumlah tersebut, 80 peratus pesakit diberi temu janji untuk pembedahan dalam tempoh 16 minggu.

"Saya yakin dengan adanya KBRK1M, ia mampu memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk menjalani pemeriksaan mata daripada berlakunya penyakit katarak, rabun dan penyakit retina," katanya kepada pemberita selepas melancarkan KBRK1M Zon Timur dan perasmian Klinik 1Malaysia Taman Anggerik di sini, Isnin.

Beliau berkata KBRK1M turut menyediakan peluang pembedahan berhampiran tempat tinggal penduduk iaitu dengan hanya perlu membayar RM130 untuk sebelah mata berbanding RM4,000 bagi kos pembedahan sebelah mata di hospital swasta.

Liow berkata pada peringkat permulaan, KBRK1M dilaksanakan di Zon Timur iaitu di Pahang, Kelantan dan Terengganu serta Zon Sarawak.

Katanya KBRK1M Zon Utara akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini merangkumi Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, manakala Zon Sabah akan diwujudkan selepas itu.

Mengenai Klinik 1Malaysia, Liow berkata perkhidmatan di klinik tersebut akan dipertingkatkan termasuk waktu beroperasi dan perkhidmatan rawatan tambahan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...